Takrif Sanad atau Isnad
Sanad atau Isnad dari Sudut Bahasa
Dalam Lisan Al-'Arab ada menyebutkan:
إن الإسناد في اللغة مصدر للفعل اسند من قولهم : أسندت هذا الحديث إلى فلان، اسنده إسنادا إذا رفعته فاسند الحديث بمعنى رفعه
لذا يعني الإسناد في الحديث عند أهل اللغة أن يسند الحديث أو يرفعه إلى قائله
Maksudnya: "Isnad dari sudut bahasa adalah kata terbitan bagi perbuatan asnada (iaitu menyandarkan) seperti dalam kata mereka: Saya sandarkan perkataan ini kepada si fulan. Iaitu, menyandarkan sandaran, bilamana ianya diangkatkan kepada yang berkata. Maka menyandarkan perkataan bererti mengangkatkan perkataan (mengembalikan perkataan kepada orang yang berkata dengan perkataan tersebut).
Oleh kerana itulah yang dimaksudkan isnad pada sesuatu perkataan di sisi ahli bahasa ialah seseorang menyandarkan sesuatu perkataan atau mengangkatnya (mengembalikannya) kepada orang yang berkata dengan perkataan tersebut."
Sanad atau Isnad dari Sudut Istilah
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqollanni mentakrifkan Isnad dengan berkata:
عرفه الحافظ ابن حجر العسقلاني فقال : (( الإسناد : حكاية طريق المتن)) ( نزهة النظر : 19)
"Al-Isnad: penceritaan tentang kedudukan jalan matan" (nuzhatu An-Nazhor: 19)
Makna penceritaan tentang jalan matan adalah, mengkaji kedudukan sanad bagi sesuatu matan hadith.
وقيل : الإسناد (( هو الإخبار عن طريق المتن ))( حاشية لقط الدرر : 24)
Dikatakan: Isnad ialah khabar tentang jalan sesuatu matan (Hasyiyah Laqt Ad-Durar: 24)
ومعنى الإخبار عن طريق المتن ، حكاية رجال الحديث (شرح المنظومة البيقونية : 14).
Adapun makna perkhabaran tentang jalan matan ialah, mengkaji kedudukan perawi-perawi hadith. (Syarh Al-Manzhumah Al-Baiquniyyah: 14)
Imam Mulla Al-Qari berkata lagi:
وقيل : الإسناد (( هو الطريق الموصل إلى المتن ))( شرح شرخ النخبة : 1/17).
Dikatakan bahawa: Isnad adalah jalan yang bersambung sehingga ke matan (Syarh Syarh An-Nukhbah 1/17)
Kepentingan Bersanad
ففي مقدمة الإمام مسلم عن مجاهد قال جاء بشير العدوي إلى ابن عباس فجعل يحدث ويقول : قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ، قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ، فجعل ابن عباس لا يأذن لحديثه - أي لا يستمع - ولا ينظر إليه ، فقال : " يا ابن عباس مالي لا أراك تسمع لحديثي، أُحدثك عن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ولا تسمع ، فقال ابن عباس : " إنا كنا مرة إذا سمعنا رجلاً يقول : قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ابتدرته أبصارنا ، وأصغينا إليه بآذاننا ، فلما ركب الناس الصعب والذلول لم نأخذ من الناس إلا ما نعرف " .
Dalam Muqoddimah Sahih Muslim, dari Mujahid bahawa beliau berkata: telah datang Basyir Al-'Adawi kepada Ibn Abbas r.a. lalu dia sering mengucapkan: telah berkata Rasulullah s.a.w., telah berkata Rasulullah s.a.w.". Lalu Ibn Abbas r.a. tidak mengizinkan untuk meriwayatkan hadith yang diriwayatkan olehnya dan tidak pula melihat kepadanya (tidak mengendahkannya). Maka, dia berkata: "Wahai Ibn Abbas. Kenapa engkau tidak mahu mendengar perkataanku (hadith yang ku riwayatkan). Aku menyebut hadith daripada Rasulullah s.a.w. namun kamu tidak mahu mendengarnya?" Ibn Abbas r.a. menjawab: "Sesungguhnya dahulu jika kami mendengar seseorang berkata: "telah bersabda Rasulullah s.a.w…" kami akan menumpukan perhatian kami kepadanya dan mendengar ucapannya. Namun, setelah manusia ditimpa malapetaka dan kesusahan (timbulnya banyak fitnah dan pendustaan dari kalangan manusia), maka kami tidak akan meriwayatkan hadith melainkan daripada orang yang kami kenal sahaja".
Ini menunjukkan akan kepentingan sanad dalam hadith itu sendiri, bagi mengelakkan berlakunya pendustaan dalam periwayatan tersebut. Kepentingan sanad sangat berkait rapat dengan hadith-hadith Nabi s.a.w., namun dalam tradisi ilmu Islam, kitab-kitab warisan ilmiah Islam (turath) turut diriwayatkan secara bersanad bagi memastikan ketulenan isi kandungan kitab-kitab tersebut tanpa sebarang penambahan daripada pihak ketiga.
Tradisi Ilmu Islam sangat mementingkan sanad selain daripada kefahaman terhadap isi kandungan kitab kerana ilmu Islam bukan sahaja diwarisi secara dirayah (kefahaman) tetapi juga diwarisi secara riwayah iaitu secara bersanad bagi memastikan kitab-kitab yang diriwayatkan tersebut jelas nisbahnya kepada penulis asalnya.
Golongan tabi'en mula mengambil berat masalah periwayatan hadith khususnya secara bersanad kerana ingin menilai kedudukan perawi-perawi hadith yang meriwayatkan hadith-hadith tersebut, bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya pendustaan dalam hadith Nabi s.a.w..
Perkataan Para Ulama' Tentang Kepentingan Sanad
Perkataan Imam Az-Zuhri r.a. (124 H)
روى الأمام احمد بسنده عن عتبة بن أبي حكيم قال : سمع الزهري إسحاق بن عبد الله يقول : قال رسول الله (صلى الله عليه وسلم ) : فقال الزهري : ( قاتلك الله يا بن أبي فروة ، ما أجرأك على الله إلا تسند حديثك ؟ تحدثنا بأحاديث ليس لها خطم ولا أزمة ) (معرفة علوم الحديث للحاكم : ص6).
Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya, daripada 'Utbah bin Abi Hakim yang berkata bahawasanya Az-Zuhri mendengar Ishaq bin Abdillah bin Abi Furah berkata: telah bersabda Rasulullah s.a.w.." Maka Az-Zuhri berkata: "Binasalah kamu wahai Ibn Abi Furah. Tergamakkah kamu melampaui ke atas Allah, melainkan hendaklah kamu menyandarkan hadith kamu tersebut (dengan sanadnya). Kamu meriwayatkan hadith tanpa sebarang rujukan dan sumbernya. (Makrifah Ulum Al-Hadith: 6)
Perkataan Imam Abdullah bin 'Aun r.a.:
روى ابن أبي حاتم الرازي بسنده عن عبد الله بن عون ، انه كان يقول ( لا يؤخذ هذا العلم إلا عمن شهد له بالطلب )( الجرح والتعديل : 1/قسم 1 ، ص28).
Ibn Abi Hatim Al-Razi meriwayatkan dengansanadnya kepada Abdullah bin 'Aun bahawasanya beliau berkata: "Tidak boleh diambil ilmu ini (ilmu hadith dan ilmu agama) melainkan daripada orang yang telah diakui pernah menuntut sebelum itu (pernah meriwayatkan ilmu dari gurunya secara bersanad juga). (Al-Jarh Wa At-Ta'dil 1/ 28)
Perkataan Imam Al-Auza'ie r.a. (m: 157 H)
روى ابن عبد البر عن إلاوزاعي انه قال ( ما ذهاب العلم إلا ذهاب
الإسناد )( التهميد: 1/ 314).
Ibn Abdil Bar meriwayatkan daripada Imam Al-Auza'ie bahawasanya beliau berkata: "Tidaklah hilang ilmu (agama) melainkan dengan hilangnya sanad-sanad (ilmu agama tersebut). (At-Tamhid 1/314)
Perkataan Imam Syu'bah bin Al-Hajjaj (m: 160 H):
روى ابن أبي حاتم الرازي بسنده عن شعبة يقول : ( كنت انظر إلى فم قتادة، فإذا قال بالحديث : حدثنا ، عنيت به فوقفته عليه ، وإذا لم يقل حدثنا لم اعن به)( الجرح والتعديل : 1/قسم 1 ،ص32)
Ibn Abi Hatim Al-Razi meriwayatkan dengan sanadnya kepada Syu'bah bahawasanya beliau berkata: "Aku melihat kepada mulut Qotadah. Jika dia membacakan hadith dengan menyebut: Haddathana (maksudnya, membaca hadith dengan menyebut sanadnya), maka aku akan menumpukan perhatian kepada apa yang sedang diriwayatkan. Namun, jika dia tidak menyebut haddathana (tidak menyebut sanad hadith), maka aku tidak akan menumpukan kepada apa yang sedang disebutnya. (Al-Jarh wa At-Ta'dil 1/32)
Perkataan Abu 'Ali Al-Jiyyani
Beliau berkata:
Allah s.w.t. mengkhususkan kepada umat ini (umat Islam) akan tiga perkara yang dia tidak pernah berikan kepada umat terdahulu iaitu: isnad (sanad ilmu dan hadith), penjagaan nasab dan kaedah tatabahasa Arab yang agung.
Perkataan Ibn Mubarak r.a.:
Imam Abdullah bin Al-Mubarak berkata:
قال عبد الله بن المبارك : " الإسناد عندي من الدين ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء ، فإذا قيل له من حدثك ؟ بقي "
"Isnad (sanad) menurutku adalah agama. Kalaulah tanpa sanad, sesiapa sahaja akan bercakap apa sahaja (dalam urusan agama). Jika ditanya kepadanya "siapa yang menyampaikan kepadamu (meriwayatkan kepadamu hadith-hadith dan ilmu agama), nescaya dia akan kebingungan (tidak mengerti kerana tidak pernah mempuyai sanad).
Beliau berkata lagi:
وقال أيضاً : " بيننا وبين القوم القوائم " يعني الإسناد
Antara kami dengan kaum (para ulama' yang meriwayatkan ilmu dan hadith) adalah ikatan, iaitulah sanad.
Perkataan Ibn Sirin
Dalam Muqoddimah Sahih Muslim (1/15), Imam Muslim meriwayatkan dari Muhammad bin Sirin rahimahullah, “Isnad itu sebahagian dari agama, jika tidak kerana isnad, maka sesiapa akan berkata apa saja yang dikehendaki (dalam urusan agama tanpa ilmu mendalam tentangnya)”
Beliau berkata lagi:
"
إن هذا العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم ".
Ilmu itu adalah agama, maka perhatikanlah dari siapa kamu mengambil agamamu (ilmu agama tersebut).
Perkataan Imam Sufiyan At-Thauri r.a.:
وقال الثوري : " الإسناد سلاح المؤمن ، إذا لم يكن معه سلاح فبأي شيء يقاتل ".
Ibnu Hibban menukilkan dari Sufyan at-Thauri dalam Muqoddimah Al-Majruhin 1/27: “Isnad adalah senjata bagi orang beriman, jika tanpa senjata, bagaimana dia mempertahankan diri?”
Keagungan Tradisi Ilmu Islam
Allah s.w.t. memuliakan umat Islam dengan menjadikan sistem talqqqi sebagai nadi bagi penyebaran ilmu Islam. Ilmu-ilmu Islam disebarkan secara talaqqi di mana seorang murid mengambil ilmu tersebut dengan kaedah "pertemuan" dengan gurunya dalam rangka untuk mewarisi ilmu-ilmu Islam secara riwayah dan dirayah.
Sistem talaqqi ini bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi di mana Baginda s.a.w. mengambil Al-Qur'an secara bertalaqqi kepada malaikat Jibril a.s.. Lalu, para sahabat meriwayatkan ajaran dan panduan dalam memahami Al-Qu'ran daripada hadith-hadith Nabi s.a.w. yang diriwayatkan secara talaqqi daripada Rasulullah s.a.w. itu sendiri.
Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., Al-Qur'an diriwayatkan secara mutawatir iaitu diriwayatkan secara beramai-ramai sehingga tidak ada keraguan lagi dalam keaslian teks Al-Qur'an yang diriwayatkan melalui ramai para huffaz (penghafaz Al-Qur'an tersebut).
Namun, hadith-hadith Rasulullah s.a.w. kebanyakkannya diriwayatkan secara perorangan (individu-individu tertentu) sehingga terkadang boleh membawa kepada keraguan dalam isi hadith yang diriwayatkan oleh perawi hadith tersebut. Maka, timbullah kaedah penelitian terhadap sanad-sanad periwayatan hadith dalam meneliti keadaan perawi hadith itu sendiri bagi memastikan ketulenan hadith-hadith Nabi s.a.w..
Setelah itu, munculnya zaman pembukuan hadith-hadith dan ilmu Islam, maka para musnid (ulama' yang membukukan hadith-hadith dalam buku-bukunya) menghimpunkan hadith-hadith yang diriwayatkan secara bersanad lalu ditulis di dalam musnad mereka (kitab himpunan hadith mereka) lelu menyebarkan musnad mereka kepada murid mereka dengan kaedah periwayatan hadith yang muktabar dalam ilmu mustolah hadith.
Murid-murid kepada ulama' yang menghimpunkan hadith-hadith dalam buku mereka meriwayatkan kepada murid-murid mereka pada generasi seterusnya dengan penuh teliti terhadap keaslian isi kandungan musnad-musnad guru mereka tersebut, samada meriwayatkannya secara "guru membaca kepada murid" ataupun murid membaca dan guru menyemak bacaan tersebut".
Setelah itu, pembukuan ilmu-ilmu Islam yang lain turut berkembang dalam pelbagai bidang ilmu yang lain seperti ilmu aqidah, tafsir, fiqh dan sebagainya. Namun, tradisi meriwayatkan buku-buku tersebut tetap tidak terlepas daripada manhaj talaqqi secara bersanad, bagi memastikan murid-murid mendapat isi kandungan asli buku-buku tersebut dan memastikan murid-murid tersebut memahami isi kandungan buku-buku tersebut, dengan melalui syarahan ulama'-ulama' penulis buku-buku tersebut.
Sistem talaqqi terus dipelihara dan dijadikan manhaj tradisi ilmu Islam dalam memelihara keaslian warisan ilmiah Islam (turath). Para ulama' salafus-soleh amat mengambil berat tradisi mewariskan turath Islami secara bersanad melalui manhaj talaqqi dalam tradisi pembelajaran dalam umat Islam.
Pembukuan Kitab-kitab Sanad dan Thabat bagi Kitab-kitab Turath Islami
Imam Al-Hafiz Ibn Hajar r.a. merupakan antara ulama' yang paling berperanan dalam menghimpunkan sanad-sanad bagi kitab-kitab Turath islami dalam rangka untuk menghidupkan semula budaya sanad dalam tradisi ilmu Islam.
Antara kitab-kitab yang menghimpunkan sanad-sanad Turath Islami adalah:
1. Al-Wajiz fi Zikr Al-Mujaz wa Al-Mujiz oleh Sheikh Abi Thohir As-Silafi
2. Al-Majma' Al-Mu'assas oleh Imam Ibn Hajar
3. Al-Mu'jam Al-Fahras juga oleh Imam Ibn Hajar
4. Al-Burqah Al-Masiwah fi Asanid At-Toriqah oleh Sheikh Habib Ali bin Abi Bakr As-Sakran (895 H)
5. Al-Juz' Al-Latif fi At-Tahkim As-Syarif oleh Al-Habib Abi Al-'Adni bin Abi Bakr Al-Aidarus (914 H)
6. At-Thiraz Al-Mu'allim oleh Al-Habib Sheikh bin Abdillah Al-'Aidarus (m: 990 H)
7. Mu'jam As-Syilli oleh As-Sayyid Muhammad As-Syili
8. 'Uqud Al-Lali fi Al-Asanid Al-'Awali oleh Sheikh Umar ibn Abidin
9. Al-Minah Al-Badiyyah fi Al-Asanid Al-'Aliyah oleh Al-Musnid Ibu Mahdi Isa nin Muhammad At-Tha'alabi (m: 1080 H)
10. Muntakhob Al-Asanid oleh Al-Musnid Ibu Mahdi Isa nin Muhammad At-Tha'alabi
11. Kanzul Riwayah oleh Al-Musnid Ibu Mahdi Isa nin Muhammad At-Tha'alabi
12. Al-Imdad bi Ma'rifati 'Uluwi Al-Isnad oleh Imam Abdullah bin Salim Al-Bashri (m: 1134 H)
13. Al-Umam li Iqazh Al-Himam oleh Sheikh Abu Thohir Ibrahim bin Hasan Al-Kurani (m: 1101 H)
14. Sillatu Al-Kholaf bi Mausul As-Salaf oleh Al-Muhaddith Sheikh Muhammad bin Sulaiman Al-Rudani (1094 H)
15. Kifayah Al-Muttholie' oleh Sheikh Hasani bin Ali Al-'Ujaimi Al-Makki
16. Al-Muqtathif min Ittihaf Al-Akabir bi Asanid Al-Mufti Abdil Qadir oleh Muhammad Hasyim As-Sindi (m:1174 H)
17. Kanz Al-Barahin Al-Jasbiyyah wa Al-Asrar Al-Ghaibiyyah li sadaat Masyaikh At-Thoriqah Al-Haddadiyyah Al-'Alawiyah oleh Al-Habib Sheikh bin Muhammad Al-Jufri
18. Miftah Al-Asrar fi Tanazuli Al-Asrar wa Ijazah Al-Akhyar oleh Al-Habib Abdul Rahman bin Abdullah bin Ahmad Bal Faqih
19. Syifa' As-Saqim bi Idhoh Al-Asnad oleh Al-Habib Abdullah bin Husein Bal Faqih
20.Bazl Al-Nahlah oleh Al-Habib Abdullah bin Husein Bal Faqih
21. 'Uqud Al-Aal fi Asanid Ar-Rijal oleh Al-Habib Al-Musnid 'Aidarus bin Umar Al-Habsyi
22. Al-Nafas Al-Yamani oleh Sheikh Al-Habib Abdul Rahman bin Sulaiman Al-Ahdal (m:1250 H)
23. Minhah Al-Fattah Al-Fathir fi Asanid As-Saadah Al-Akabir oleh Al-Habib 'Aidarus bin Umar Al-Habsyi juga.
24. 'Aqd Al-Yawaqit Al-Jauhariyyah wa Samth Al-'Ain Az-Zahabiyyah oleh Al-Habib 'Aidarus bin Umar Al-Habsyi juga.
25. Al-'Uqud Al-Lu'lu'ah fi Asanid At-Thoriqah Al-Alawiyyah oleh Al-Habib Abi Bakr bin Syihab
26. Thabat Al-Habib As-Sirri oleh Al-Habib Al-Musnid Muhammad bin Salim As-Sirri
27. Thabat Al-'Allamah Al-Habib Abdullah bin HAdi Al-Haddar oleh muridnya Al-Jabib Abdullah bin Ahmad Al-Haddar
28. Tuhfah Al-Mustafid fi man 'akhoza 'anhum Muhammad bin Hasan 'Aidid oleh Al-Habib Muhammad bin Hasan 'Aidid
29. Minhah Al-Ilah fi Al-Ittisol bi ba'dhi Auliya' oleh Al-Habib Salim bin Hafiz Aal Sheikh Abi Bakr bin Salim
30. Awa'il Al-Watri wa musalsalatihi oleh Sheikh Ali bin Zhohir Al-Watri Al-Madani (m: 1322 H)
31. Khulasoh Al-Syafiyah fi Al-Asanid Al-'Aliyyah oleh Al-Habib 'Alawi bin Thohir Al-Haddad (m:1382 H), bekas Mufti Negeri Johor
32. Mu'jam Al-Khulasoh Al-Kafiyyah oleh Al-Habib Salim bin Ahmad bin Jindan
33. Fath Al-Qawiy (thabat Al-Habib Abi Bakr bin Ahmad Al-Habsyi)
34. Thabat Al-Habib Uthman bin Abdillah bin Aqil bin Yahya (1333H)
35. Thabat Al-Habib 'Alawi bin Saqqaf Al-Jufri
36. Al-Aqd Al-Farid fi Ma'rifah Ulu Al-Asanid oleh Sheikh Sayyid Ahmad bin Sulaiman Al-Arwadi
37. Al-Irsyad ila Muhimmat 'Ilm Al-Isnad oleh Sheikh Waliyullah Ad-Dahlawi
38. An-Nasj wa Al-Khaith li Ba'dhi Asanid Al-Allamah bin Semait
39. Ittihaf Al-Akabir bi Isnad Ad-Dafatir oleh Imam As-Syaukani
40. Al-Jawahir Al-Ghowali fi Bayan Al-Asanid Al-'Awali oleh Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Budairi Al-Husaini As-Syami
41. Fihras Al-Faharis oleh Sheikh Muhammad Abdul Hayy Al-Kattani
42. Ittihaf Al-Ikhwan bi Asanid Saidina wa Maulana Fadhl Ar-Rahman oleh Sheikh Ahmad bin Uthman
43. Al-Manhal Al-Rawi Ar-Ra'if fi Asanid Al-'Ulum wa Usul At-Thoro'if oleh Imam Muhammad Ali As-Sanusi (m: 1276 H)
44. Qathf As-Samar fi Raf'ie Asanid Al-Musannafat fi Al-funun wa Al-Athar oleh Imam Al-Fullani (1218 H)
45. Sadd Al-Arab min 'Ulum Al-Isnad wal Adab oleh Sheikh Muhammad Al-Amir Al-Kabir Al-Misri (1232 H)
46. Al-Durar Al-Saniyyah li ma 'Ala Min Al-Asanid As-Syanwaniyyah oleh Sheikh Muhammad bin Ali As-Syanwani (m: 1233 H)
47. Al-Jamie Al-Hawi fi Marwiyaat As-Syarqowi oleh Sheikh Abdullah Bin Hijazi Al-Syarqowi (1227 H)
48. Ajla Masanid 'Ula Ar-Rahman 'ala Asanid Ali bin Sulaiman oleh Al-Baj'ma'awi
49. Ad-Durr Al-Farid Al-Jami'e li Mutafarriqat Al-Asanid oleh Imam Abdul Wasie' Al-Wasi'ie
50. Minah Al-Minnah fi Silsilah Ba'dhi Kutubi As-Sunnah oleh Sheikh Muhammad Abdul Hayy Al-Kattani
51. Al-Yanie' Al-Janiy fi Asanid Sheikh Abdul Ghani oleh muridnya Sheikh Muhammad Yahya.
52. Nashr Al-Ghowali min Al-Asanid Al-'Awali oleh Sheikh Muhammad Abdil Baqi Al-Anshori
53. Al-Wajiazah fi Al-Ijazah li Syam Al-Haq Abadi oleh Faisal Abad
54. Al-Irsyad bi zikr ba'dhi ma lai min Al-Ijazah wa Al-Isnad oleh Sheikh Hassan Al-Masyath (1306 H)
55. Maslakul Jali (thabat Sheikh Muhammad Ali Al-Maliki oleh Sheikh Yasiin Al-Fadani)
56. Al-Is'ad bil Isnad oleh Sheikh Muhammad Abdul Baqi Al-Anshori (m:1364 H)
57. Kifayah Al-Mustafid li ma 'Ala min Al-Asanid oleh Sheikh Mahfuz At-Turmasi
58. Al-Asanid Al-Makkiyah li Kutub Al-Hadith wa Siyar wa As-Syama'il Al-Muhammadiyah oleh Sheikh Yasiin Al-Fadani
59. Ittihaf Al-Mustafid bi Gharrar Al-Asanid oleh Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani
60. Al-Faidh Al-Rahmani bi Ijazah Fadhilah As-Sheikh Muhammad Taqi Al-Uthmani oleh Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani
61. Ittihaf Al-Ikhwan (thabat Sheikh Umar Hamdan) oleh Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani
62. Al-Qaul Al-Jamil bi Ijazah Samahah As-Sayyid Ibrahim bin Umar Ba' Aqil oleh Sheikh Al-Fadani
63. Al-'Ujalah oleh Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani
64. At-Tholie As-Sa'id oleh Sheikh As-Sayyid Muhammad bin As-Sayyid Alawi Al-Maliki
65. Al-'Aqd Al-Farid oleh Sheikh As-Sayyid Muhammad bin As-Sayyid Alawi Al-Maliki juga
66. Fathul Aziz fi Asanid As-Sayyid Abdul Aziz oleh Sheikh Mahmud Sa'id Mamduh
Dan banyak lagi…
Renungan:
Dengan banyaknya karya-karya ulama' Islam dalam menghimpunkan sanad-sanad kitab-kitab turath Islami ini menunjukkan akan kepentingan sanad dalam sistem pembelajaran tradisi Islami itu sendiri. Namun, di akhir zaman ini, ramai penuntut ilmu yang mengambil ilmu agama bukan daripada manhaj pembelajaran Islam yang murni iaitu secara bertalaqqi dan bersanad, malah mereka lebih gemar berguru semata-mata daripada buku-buku dan orang-orang yang tidak ada keahlian dan sanad ilmu.
Ini melahirkan generasi penuntut ilmu yang jauh daripada kefahaman sebenar ilmu-ilmu Islam dan kepincangan dalam berinteraksi dengan kitab-kitab turath Islami sehingga menyebabkan mereka akhirnya memahami sesuatu isi kandungan kitab dengan kefahaman yang bercanggah dari maksud asal penulis kitab itu sendiri.
Oleh kerana itu, seseorang penuntut ilmu agama perlulah mencari guru yang benar-benar mempunyai keahlian dalam ilmu agama, yang mana mereka mewarisi ilmu-ilmu Islam dan hadith-hadith Nabawi secara bersanad dan pernah melalui proses bertalaqqi sebelum itu. Manhaj ini jika tidak dipelihara akan melahirkan generasi pewaris ilmu agama yang cacat kefahamannya tentang agama itu sendiri, akhirnya mewujudkan kesesatan dalam masyarakat Islam itu sendiri.
Benarlah kata sebahagian salafus-soleh bahawasanya, ilmu agama itu akan lenyap sekiranya budaya meriwayatkan ilmu secara bersanad dan bertalaqqi mula pupus. Fenomena yang buruk akan wujud disebabkan generasi penutut ilmu tidak mengambil ilmu daripada sumber asalnya secara manhaj islami.
Antara fenomena buruk yang timbul akibat kelalaian penuntut ilmu agama khususnya dalam mengambil ilmu agama secara bertalaqqi dan bersanad adalah, kewujudan kelompok yang bersungguh-sungguh menentang para ulama' generasi terdahulu dengan menggelarkan ulama' terdahulu sebagai kaum tua dan sebagainya, akhirnya merasakan mereka lebih memahami ilmu agama berbanding para ulama' terdahulu.
Lebih malang daripada itu, timbul golongan yang mengaku bahawasanya mereka lebih memahami salaf berbanding para ulama' Islam sebelum mereka. Akhirnya, mereka menyebarkan fitnah dalam lapangan ilmu agama sehingga membawa kepada pertembungan dengan golongan as-sawadh al-a'zhom yang mewarisi krangka kefahaman ilmu agama yang diwarisi dari generasi ke generasi secara sahih.
Mana mungkin urusan agama diserahkan kepada golongan yang mengambil ilmu agama daripada buku-buku semata-mata, bahkan ada yang sekadar mengambilnya daripada buku-buku versi terjemahan semata-mata. Ini suatu kepincangan dalam tradisi ilmuan Islam itu sendiri.
Seruan ke arah kembali kepada sistem talaqqi secara bersanad amat diperlukan kerana itulah budaya pembelajaran para salafus-soleh terdahulu. Institusi-institusi yang meneruskan tradisi ini harus dibela dalam rangka menyaingi suatu sistem pembelajaran versi sekular yang tidak lagi mementingkan sanad ilmu, tetapi sekadar mementingkan sijil semata-mata.
Semoga Allah s.w.t. menjaga umat Islam dalam mengharungi fitnah duniawi akhir zaman ini. Amin…
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.