Hukum Belajar Tanpa Guru
Dicatat oleh IbnuNafis Label: Adab Belajar/Disiplin Ilmu
Soalan :
Assalamualaikum, saya nak tanya. Pak cik saya ada kata ada hadis yang menyatakan belajar tanpa bimbingan guru umpama belajar bersama dengan syaitan. Apa pendapat anda? Saya tak pasti akan kesahihannya dan saya rasa sahih kerana pak cik saya seorang ustaz. Namun, mungkin ia ada maksud disebaliknya.Minta penjelasan. Terima kasih~
Jawapan oleh Ustaz Abdul Kadir:
Pertamanya menjawab persoalan yang ditimbulkan di awal thread ini. Adakah benar hadis belajar tanpa guru adalah berguru dengan syaitan? Ana katakan, ana tidak pernah menjumpai matan hadis sedemikian dalam kitab-kitab hadis yang muktabar. Ana katakan "tak pernah jumpa", bukan ana katakan ia palsu tau.
Namun begitu para ulamak biasa menyebut kalam ini di dalam kitab-kitab mereka. Ingat satu perkara yang mesti kita iktiqad, ulamak agung silam takkan dengan sengaja menulis sesuatu mengikut hawa nafsu dan meletakkan sesuatu yang mereka anggap salah. Mereka tentu beranggapan kalam tersebut adalah benar. Hormatilah ulamak dan jangan bersikap kurang ajar dengan mereka.
Lebih-lebih lagi dengan kalam yang lebih sahih iaitu "sesungguhnya ilmu itu didapati dengan dipelajari." Imam Syafie pula pernah menyatakan, "sesiapa yang tafaqquh dari perut kitab, maka dia telah kehilangan hukum-hakam". Para ulamak juga menyebutkan, "antara kebodohan terbesar, adalah menjadikan helaian-helaian sebagai syaikh".
Walaupun kenyataan belajar dengan syaitan itu, tidak didapati sahih dari segi sanadnya (jalur riwayat), tapi ia sahih dari segi maknanya (bagi mereka yang melihat dengan hati yang cerah dan bersikap terbuka).
Ia adalah suatu perumpamaan daripada para ulamak untuk memberi peringatan kepada mereka yang suka menjadikan bahan bacaannya sebagai ilmunya. Jangan difahami secara zahir plak ya. Perlu diingat, buku adalah alat sahaja untuk menimba ilmu. Untuk menggunakan alat, perlu kepada yang pakar untuk menunjuk caranya.
Kita lihat hari ini, salah faham terhadap agama, kebanyakannya berasal daripada golongan yang suka membaca tanpa guru, lantas memahami dengan salah dan menyesatkan pula kefahaman orang lain. Lihat sahajalah ajaran-ajaran sesat yang timbul sekarang, kebanyakannya adalah intepratasi dari kitab-kitab yang sahih. Bukankah ini adalah bukti yang cukup jelas betapa syaitan menyesatkan manusia yang membaca dan belajar tanpa berguru?
Buku yang kandungannya penuh dengan Ayat-ayat Alquran dan hadis-hadis yang kuat pun, boleh disalah fahami lantas menatijahkan kesesatan kepada pembacanya. Oleh kerana itu ulamak zaman berzaman sentiasa menasihati kita agar berjaga-jaga dalam pembacaan buku. Orang yang belajar dengan berguru pun boleh sesat, apatah lagi orang yang tidak belajar dengan guru kan?
Akan tetapi, bukanlah kita menutup terus pintu bacaan kepada Ummat Islam. Malah Ummat Islam sepatutnya menjadi ummat yang paling rajin membaca. Hanyasanya, bacalah buku mengikut tahap kemampuan masing-masing. Kita akan merasa lucu, jika seorang pelajar fizik sekolah menengah, membaca dan membahaskan teori fizik yang ditulis oleh seorang profesor untuk dibahaskan oleh profesor-profesor lain.
Di dalam ilmu agama juga begitu. Tiada masalah untuk kita semua membaca kitab-kitab motivasi agama, sirah para rasul dan sahabat, galakan beribadat dan ancaman terhadap kemaksiatan, dan sebagainya. Namun di sana, ada kitab-kitab yang memerlukan kepada guru yang membimbing. Ada juga yang memerlukan kita membaca, kemudian bertanya kepada guru. Ada juga buku yang boleh dibaca oleh mereka yang sudah mencapai ke tahap pembelajaran yang tertentu. Hukum tak boleh diambil sekadar membaca. Aqidah jauh sekali.
Ini bermakna, memang membaca tanpa berguru itu banyak membawa kesesatan yang disemarakkan lagi oleh syaitan. Namun Islam tetap menggalakkan sikap suka membaca. Islam juga mengajarkan kepada kita adab-adab membaca, cara membaca, apa yang hendak dan boleh dibaca, bila hendak dibaca dan sebagainya, bagi mengelakkan kita menjadi bahan tawa syaitan yang direjam.
-------------------------------------------------------------------------------------
Mengenai Hafiz Firdaus
Polemik kedua yang ditimbulkan di atas, adalah berkenaan Kapten Hafiz Firdaus (moga Allah menunjukkannya dan kita semua ke jalan yang benar).
Ana tersenyum apabila ada yang tak berkenan bila diminta berhati-hati membaca bukunya. Sedangkan bukankah beliau sendiri dan rakan-rakan seangkatannya yang sering menyuruh sidang pembaca berhati-hati dalam membaca? Maka umumkanlah. Jika kitab ulamak agung silam pun mereka suruh kita berhati-hati membaca, mengapa kita tidak perlu berhati-hati membaca tulisan seorang juruterbang moden?
Memang ada dalam bukunya yang mengharam dan membid'ahkan perkara yang para ulamak agung terdahulu telah mengharus dan menggalakkan, namun ana bukan katakan semua yang ditulisnya sesat. Cuma berhati-hatilah, bagai kata sahabat-sahabat yang lain. Lebih-lebih lagi tulisan hukum hakam ditulis oleh seorang yang bukan ahlinya.
Ada yang beranggapan, buku beliau adalah buku yang ringan dan boleh dibaca oleh orang awam. Ringan bagaimana pun, kadang kala ada saja satu atau dua ayat yang ingin menyebarkan ideologi yang salah, maka secara halus tanpa kita sedari kita dihinggapi virus yang salah. Ini yang berlaku kepada ramai yang ghairah membaca. Apabila forummer di sini katakan berhati-hati, bermakna mereka menyayangi kita. Maka berhati-hatilah. Tiada masalah untuk berhati-hati bukan?
Mungkin ada yang menyatakan, saya akan ambil yang benar, dan saya akan tinggalkan mana yang saya ragui. Saya akan ambil mana yang bersumberkan Al-quran dan hadis sahaja. Kita katakan, oleh kerana kita ini masih lagi di tahap "orang awam" dan "pelajar" maka kita sukar untuk membezakan mana yang benar mana yang salah. Takut-takut yang salah itu dikaburi dengan Alquran dan Hadis, lantas kita anggap benar. Maka jadilah kita orang yang sesat dan menyesatkan. Na'uzubillah.
Berkenaan bidang ilmu, dan tulisan seorang yang bukan ahli, dakwah dari seorang businessman dan sebagainya, telah ana tulis di blog lama ana tiga tahun lalu. Rajin-rajinkanlah membaca link di bawah ya:
Bhgn. 1: http://aljoofre.blogdrive.com/archive/87.html
Bhgn. 2: http://aljoofre.blogdrive.com/archive/88.html
Wallahu A'lam
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.