Kamis, 12 Maret 2009

Beramal Kerana Allah Semata-mata adalah Keikhlasan Yang Paling Tinggi

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh;
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,
Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,
Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

1. Pertama-tama sekali pihak Al-Ashairah ingin menyeru semua umat Islam melakukan solat hajat, tahlil, qunut Nazilah, membaca ratib, hizb atau wirid dan sebarang apa jua amalan kerohanian (yang mungkin dianggap bid’ah oleh Salafi Wahhabi) bagi mendoakan keselamatan dan kemenangan saudara mara kita Palestin khasnya dan di seluruh dunia umumnya.

2. Insya-Allah, pada penulisan akan datang, penulis akan membincangkan bahawa bid’ah Wahhabiah Salafiah yang tersebar di kalangan umat Islam pada hari ini sebenarnya telah “MELEMAHKAN KEKUATAN KEROHANIAN” dan “KEKUATAN AQIDAH” umat Islam adalah di antara sebab-sebab utama sebab dan punca bagi penyakit al-Wahn (Cinta Dunia dan Bencikan Maut) seperti mana yang disebut di dalam hadis Rasulullah SAW yang masyhur.

3. Untuk penulisan kali ini, penulis terlebih dahulu ingin menjawab tuduhan bahawa “BERAMAL SEMATA-MATA KERANA ALLAH, DAN BUKAN KERANA MAHUKAN SYURGA ATAU TAKUTKAN NERAKA” itu adalah bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Tuduhan seperti ini sering dilemparkan oleh golongan yang berfahaman berpenyakit apabila mendengar kata-kata golongan ahli sufi dan Wali Allah.

4. Bagi menjawab tuduhan ini, penulis menukilkan terlebih dahulu kata-kata para ulama’ yang Arifin yang menjelaskan tentang hakikat Ikhlas sebelum meletakkan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah. Ini adalah kerana para ulama’ itu adalah “PINTU MASUK” bagi rumah “AL-QURAN DAN AL-SUNNAH”.

Komen tambahan penulis: “Sesetengah orang yang berpenyakit fahamannya mungkin akan menafsirkan bahawa penulis mendahulukan ulama’ ke atas al-Quran dan al-Sunnah. Sedangkan mereka lupa bahawa para ulama’ itulah yang membawa, memelihara (dengan izin Allah), menterjemah dan mentafsir al-Quran dan al-Sunnah bagi kita. Orang yang menolak para ulama’ dan hanya mahu menerima al-Quran dan al-Sunnah seumpama orang mahu menerima surat tetapi tidak mahu posmen datang ke rumahnya ataupun seumpama seseorang yang bercakap dengan seorang bangsa asing tanpa mahu ada penterjemah. Bagaimana surat itu boleh sampai kepadanya? Dan bagaimana dia dapat memahami kata-kata orang asing itu?”. Wa lillah al-mathal al-a’la.

4. Sebelum timbul sebarang prasangka yang salah di kalangan pembaca, penulis ingin menjelaskan bahawa:

* Beramal kerana ingin mendapatkan pahala dan syurga bukanlah satu perkara yang bertentangan dengan Shariat. Namun, ia adalah salah satu daripada peringkat-peringkat ikhlas.

* Penulisan ini adalah untuk menyatakan bahawa beramal semata-mata kerana Allah (dan bukan kerana syurga dan neraka) tidaklah bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah seperti yang didakwa oleh pegawai bank tersebut. Ia bukanlah bermaksud bahawa memohon Syurga dalam ibadat adalah perkara yang salah. Harap dapat difahami.

Berikut adalah hujah-hujahnya:

KATA-KATA PARA ULAMA’

(1) Al-Imam Ibnu ‘Ajibah rahimahullah menyatakan bahawa [Kitab I’qaz al-Himam fi Sharh al-Hikam]:

الإخلاص على ثلاث درجات: إخلاص العوام والخواص وخواص الخواص.

فإخلاص العوام: هو إخراج الخلق من معاملة الحق مع طلب الحظوظ الدنيوية والأخروية كحفظ البدن والمال وسعة الرزق والقصور والحور.

وإخلاص الخواص: طلب الحظوظ الأخروية دون الدنيوية.

وإخلاص خواص الخواص: إخراج الحظوظ بالكلية، فعبادتهم تحقيق العبودية والقيامُ بوظائف الربوبية محبة وشوقاً إلى رؤيته، كما قال ابن الفارض: ليس سؤْلي من الجنان نعيماً غيرَ أني أحبها لأراكا

Maknanya:

“Ikhlas itu ada tiga darjat: Ikhlas orang awam; Ikhlas golongan khawas dan Ikhlas golongan khawas al-khawas.

Maka keikhlasan orang awam itu adalah menyingkirkan makhluk dalam hubungannya dengan Allah dan dalam masa yang sama menuntut kelebihan-kelebihan dunia dan akhirat seperti pemeliharaan badan, harta, kelapangan rezeki, istana-istana di syurga serta bidadari.

Dan keihklasan golongan khawas itu adalah hanya menuntut kelebihan-kelebihan di akhirat dan bukannya dunia.

Dan keikhlasan golongan khawas al-khawas itu adalah menyingkirkan (kehendak) kepada kelebihan-kelebihan secara keseluruhan (sama ada dunia mahupun akhirat). Maka ibadat mereka itu adalah untuk merealisasikan makna kehambaan dan menunaikan hak-hak ketuhanan kerana cinta dan rindu untuk melihat-Nya.

Ini adalah seperti satu syair oleh Ibn al-Faridh:

Maka tidaklah permintaanku untuk syurga itu kenikmatan,

Tetapi aku mencintainya (syurga) agar dapat melihat-Mu.”

Komen penulis:

Adakah patut bagi kita membelakangkan seorang yang alim lagi arif seperti Ibnu ‘Ajibah dan mengikut telunjuk seorang pegawai bank???!!!

(2) Al-Imam Al-Hafiz al-Suyuthi menyatakan di dalam kitabnya “Ta’yid al-Haqiqah al-‘Aliyyah]:

قال الإمام السيوطي رحمه الله تعالى: (القيامُ بالأوامر والنواهي لله وحده، لا لجلب ثواب ولا لدفع عقاب، وهذا حال من عبدَ الله لله، خلافُ من عبدَ الله للثواب وخوف العقاب، فإنما عَبَدَ لِحَظِّ نفسه، وإن كان هو محباً أيضاً، لكنه في درجة الأبرار، وذاك في درجة المقربين)

Maksudnya:

“Menunaikan perintah dan (meninggalkan) larangan adalah bagi Allah satu-satunya, bukanlah untuk mendapatkan pahala atau menolak balasan buruk, dan ini adalah keadaan seseorang beribadat kepada Allah kerana Allah.

Dan ini berbeza dengan seseorang yang beribadat kepada Allah kerana pahala dan takutkan hukuman, sesungguhnya dia mengerjakan ibadat untuk kebaikan dirinya, walaupun dia juga seseorang yang menyintai Allah, akan tetapi dia berada di darjat golongan al-abrar (soleh), dan yang pertama terdahulu itu adalah darjat al-Muqorrabin.”

Komen penulis:

Lihatlah bagaimana al-Imam al-Suyuthi menerangkan perbezaan di antara golongan al-abrar dan al-muqorrabin.

Adakah kata-kata seorang pegawai bank pada zaman ini lebih berhak diikuti berbanding al-Imam al-Suyuthi???!!!

DALIL-DALIL AL-QUR’AN

Dalil-dalil al-Quran bahawa beramal semata-semata kerana Allah (tanpa memandang syurga dan neraka) itu adalah benar dan disebut di dalam al-Quran. [Bagi yang kurang mahir berbahasa Arab, silalah rujuk ke tafsir dengan terjemahan yang muktabar, bukan semata-mata terjemahan harfi atau hissi].

Firman Allah SWT:

1. Surah al-Bayyinah: Ayat 5

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadat kepada Allah dengan hal keadaan mengikhlaskan bagi-Nya agama.”

2. Surah al-Nisaa’: Ayat 146

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَاعْتَصَمُوا بِاللَّهِ وَأَخْلَصُوا دِينَهُمْ لِلَّهِ

Maksudnya: “Melainkan orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki amal soleh dan mencari keselamatan/perlindungan dengan Allah dan mengikhlaskan agama mereka bagi Allah.”

3. Surah al-An’am: Ayat 162-163

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ (163)

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad!). Sesungguhnya solatku dan ibadatku dan hidupku dan matiku hanyalah bagi Allah, Tuham Semesta Alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan itulah aku diperintahkan dan akulah orang yang pertama-tama di kalangan orang Islam (yang menyerahkan diri).”

4. Surah al-An’am: Ayat 52

وَلَا تَطْرُدِ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau halau mereka yang berdoa kepada Tuhan mereka siang dan malam mencari “wajh” (zat) – Nya.”

5. Surah al-Kahf: Ayat 28

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

Maksudnya: “Dan sabarkanlah dirimu bersama mereka yang berdoa kepada Tuhan mereka siang dan malam mencari “wajh” (zat) – Nya.”

Nota:

Takwilan bagi kalimah “wajh” bagi ayat-ayat di atas ialah zat Allah SWT. Ini adalah termasuk di dalam bab ilmu balaghah:

إطلاق البعض وإرادة الكل

Disebut sebahagian, namun yang dikehendaki adalah semua.

[Kalau tak faham, kene pi ngaji dulu].

6. Surah al-Zumar: Ayat 2-3

فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ (2) أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

Maksudnya: “Maka beribadatlah kepada Allah dengan hal keadaan mengikhlaskan agama bagi Allah. Dan tidakkah bagi Allah itu agama yang tulus.”

Bukankah semua ayat-ayat di atas menekankan keikhlasan hanya semata-mata kepada dan kerana Allah!!!

7. Dan lihatlah Surah al-Ikhlas (yang dinamakan dengan al-Ikhlas) adakah di sana terdapat kisah tentang syurga atau neraka??? Ianya adalah semata-mata berkenaan dengan Allah SWT.

8. Isteri Fir’aun yang beriman memohon kedudukan di sisi Allah terlebih dahulu sbelum memohon mahligai di syurga [Surah al-Tahrim: Ayat 11].

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آَمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Dan Allah memberi perumpamaan bagi orang-orang yang beriman mengenai isteri Fir’aun (ang beriman) apabila dia berkata: “Ya Allah! Binakanlah bagiku di sisi-Mu mahligai di syurga.”

KOMENTAR: Lihatlah wahai orang-orang beriman! Betapa halusnya dan tingginya perumpamaan ini! Isteri Fir’aun mendahulukan kedudukan di sisi Allah berbanding mahligai di dalam syurga. Sebab itulah dia tidak berdoa seperti di bawah:

رَبِّ ابْنِ لِي بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ عِنْدَكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Binakanlah bagiku mahligai di dalam Syurga di sisi-Mu.”

Ini juga menunjukkan bahawa mencari pendekatan kepada Allah SWT (taqarrub) adalah lebih utama daripada selainnya. Namun begitu, Syurga adalah jalan untuk mencapai nikmat bertaqarrub dengan Allah SWT.
Wallahu A'lam

Tidak ada komentar: