Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi adalah antara ulama kenamaan India keluaran Darul Ulum Deoband. Beliau, yang terkenal dengan gelaran Hakimul Ummah dan Mujaddidul Millah, telah dilahirkan di Thana Bhawan, Muzaffarnagar, Uttar Pradesh pada 5 Rabi`ul Akhir 1280H (19 September 1863M). Antara guru-gurunya ialah Mawlana Haji Imdadullah Muhajir Makki, Syaikhul Hind Maulana Mahmud Hasan, Maulana Rasyid Ahmad Gangoh, Maulana Muhammad Qasim Nanotawi dan Maulana Muhammad Ya’qub Nanotawi. Beliau meninggalkan dunia yang fana ini pada 2 Rejab 1362H ( 4 Julai 1943) dan disemadikan di Thana Bhawan. Moga Allah merahmatinya dan menempatkannya di kalangan para sholihin…… al-Fatihah.
Maulana Asyraf ‘Ali Thanwi dalam karyanya berjodol “Syauqu Wathan” menulis seperti berikut:-
Diriwayatkan oleh al-Khalaal dalam “al-Jami`” daripada asy-Sya’bi yang berkata: “Adalah orang-orang Anshar apabila mati seseorang daripada mereka, berulang-aliklah mereka ke kubur si mati tadi untuk membaca al-Quran baginya (yakni bagi si mati) - Syarhush Shudur. Maka komentarku (yakni komentar Maulana Asyraf):- Kalaulah tidak sampai (pahala bacaan al-Quran tersebut) dalam pandangan mereka, maka kenapakah mereka membacanya (yakni kaum Anshar membaca al-Quran bagi si mati di kuburnya kerana mereka percaya bahawa pahala bacaan tersebut boleh sampai dan bermanfaat kepada si mati, jika mereka tidak berpendapat sedemikian maka kenapakah mereka membacanya). Dan mereka tidak akan beri’tiqad sampainya pahala tersebut tanpa ada dalil, maka tsabitlah sampainya pahala bacaan kepada si mati. (Yakni perbuatan kaum Anshar untuk membaca al-Quran di kubur membuktikan wujudnya atau adanya dalil yang menyatakan sampainya pahala bacaan al-Quran kepada si mati).
Lihatlah wahai ikhwah yang budiman, bagaimana Maulana Asyraf menjadikan perbuatan kaum Anshar untuk membaca al-Quran di kubur sebagai dalil mengenai bermanfaatnya dan sampainya pahala bacaan tersebut kepada si mati. Inilah pandangan jumhur ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah, jikapun tidak dianggap sebagai ijma`. Seharusnya pandangan ini tidak dipinggirkan kerana inilah pandangan “mainstream” umat Islam tanpa mengira apa mazhab mereka. Perbuatan suka mengkritik pendapat yang telah menjadi amalan lumrah masyarakat dan termasuk perkara khilafiyyah yang dibenarkan syarak yang mulia, amatlah tidak wajar dan perbuatan sebegini boleh membinasakan ukhuwwah dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat. Sayogianya perbuatan tersebut dihentikan, biarlah masyarakat beramal dengan keyakinan mereka asalkan ianya tidak terkeluar dari syariat Islam sebagaimana dinyatakan oleh para ulamanya umat ini.
Fatwa Tahlil Ibnu Taimiyyah
Syaikh Ibnu Taimiyyah, ulama yang menjadi rujukan pertama dan utama geng-geng pengaku salafi yang hidup di zaman khalaf, sebenarnya tidaklah seekstrim puak-puak pelampau kat tempat kita dalam memerangi amalan bertahlil yang dilakukan oleh masyarakat kita. Aneh dan pelik, kerana dalam menentang amalan bertahlil atau itsal ats-tsawab, maka mereka akan mengutarakan qaul yang dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i mengenainya. Malangnya mereka sendiri gagal memahami untuk kedudukan qawl tersebut dan maksud yang dikehendaki oleh Imam asy-Syafi`i. Maka mereka telah memahami qaul tersebut menurut tafsiran mereka sendiri yang bercanggah dengan pegangan para ulama yang menjadi pendokong mazhab yang agung tersebut. Perkara ini sama seperti kegagalan mereka untuk memahami kalimah “ma’tam” yang disebut oleh Imam asy-Syafi`i sehingga mereka menyamakan ma’tam dengan kenduri arwah. Allahu … Allah……..sungguh perbedaan antara ma’tam dengan kenduri arwah yang diamalkan umat Islam sekarang adalah umpama langit dengan bumi. Ma’tam itu tradisi kaum jahiliyyah, sedangkan kenduri arwah itu dipelopori oleh kaum yang mentauhidkan Allah, maka janganlah disamakan. Insya-Allah, nanti jika diizinkan Yang Maha Esa, kita boleh bicarakan mengenai kedudukan qawl yang dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i tersebut dan perbicaraan ulama pendokong mazhab beliau mengenai kedudukan dan ihtimalat terhadap qawl tersebut.
Puak-puak anti-tahlil, walaupun terkenal taksub dan menjunjung tinggi Syaikh Ibnu Taimiyyah, tetapi dalam persoalan tahlil tidak menjadikan perkataannya sebagai panduan. Ini adalah kerana Ibnu Taimiyyah juga muridnya Ibnu Qayyim adalah termasuk ulama yang berfatwa bahawa pahala bacaan al-Quran, pahala amalan, pahala tahlil dapat dihadiahkan kepada arwah mereka-mereka yang telah meninggal dunia. Dalam himpunan fatwa yang dinisbahkan kepada Syaikh Ibnu Taimiyyah dinyatakan sebagai berikut:-
Dan ditanyai (Ibnu Taimiyyah) mengenai (hadits): “bertahlil 70,000 kali dan dijadikan hadiah (pahalanya) kepada orang mati, agar menjadi kelepasan bagi si mati dari api neraka”, adakah hadits tersebut shohih atau tidak? Dan apabila bertahlil seseorang dan dihadiahkan (pahalanya) kepada orang mati adakah pahalanya sampai kepada si mati atau tidak?
Maka dijawab (oleh Ibnu Taimiyyah):- Apabila bertahlil seseorang dengan yang sedemikian 70,000 atau kurang atau lebih dan dihadiahkan kepada si mati, Allah menjadikannya bermanfaat baginya dengan yang sedemikian itu. Dan hadits tersebut tidaklah shohih dan tidak juga dhoif (yakni tidak tsabit kedudukan hadits tersebut di sisi Ibnu Taimiyyah). Allahlah yang Maha Mengetahui.
Allahu … Allah, lihat ya ikhwah, bagaimana Ibnu Taimiyyah memfatwakan tahlil buat orang mati akan bermanfaat baginya. Jadi kenapa orang yang mengaku Ibnu Taimiyyah sebagai ulama besar mereka, panutan mereka, menjadi umpama “lebih sudu dari kuah” sehingga tidak dapat bertasamuh dengan kelompok majoriti yang mengamalkan amalan “itsal ats-tsawab” dengan bertahlil dan sebagainya. Kalau kamu tak emboh nak bertahlil, itu hak kamu, tapi jangan pula nak menceroboh hak kami untuk bertahlil, sampai tak sampai itu urusan Allah, bukan urusan kita.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.