Syeikh Asy syatibi berkata seperti berikut :
Fatwa-fatwa para mujtahid itu bagi para orang awam bagaikan dalil syariat bagi para mujtahidin. Adapun alasannya ialah ada atau tidak adanya dalil bagi orang yang taqlid (muqollid) adalah sama sahaja kerana mereka sedikit pun tidak mampu mengambil faedah darinya. Jadi masalah meneliti dalil dan istinbath bukanlah urusan mereka dan mereka tidak diperkenankan melakukan hal tersebut. Dan sungguh ALlah subahanahu wa ta'ala telah berfirman (yang bererti) :
Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai ilmu jika kamu tidak mengetahui (Surah an Nahl :43)
Orang yang taqlid bukanlah orang yang alim. Oleh kerana itu, tidak sah baginya selain bertanya kepada ahli ilmu. Para ahli ilmu itulah tempat kembali baginya urusan hukum agama secara mutlak. Jadi kedudukan mereka bagi orang yang taqlid serta ucapannya seperti syarak. (Al Muwafaqah, Karya Asy SYatibi, Jilid IV hlmn 290)
Orang yang alim tentang masalah syariat bila diikuti orang lain adalah kerana ilmunya tentang syariat bukan kerana segi lain. Jadi, pada hakikatnya dia menyampaikan apa yang diterima dari RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam, sedangkan beliau sallaLlahu 'alaihi wasallam menyampaikan apa yang diterima dari ALlah azza wa jalla.
Selanjutnya Imam Asy Syatibi rahimahuLlah berkata : Dengan demikian keadaan mukallaf yang dibebani hukum syariat terbahagi kepada 3 macam iaitu :
1. Seorang mujtahid, kewajibannya ialah melaksanakan hasil ijtihadnya.
2. Seorang muqallid yang murni, iaitu tidak mengetahui apa-apa tentang hukum. Kewajipannya ialah harus ada orang yang membimbingnya dan menuntunnya kemudian ia mengikutinya. Sudah tentu ia ikut kepadanya kerana faktor ilmunya.
Kalau kemudian ia mengetahui atau mempunyai dugaan yang kuat bahawa orang yang diikutinya bukan ahli ilmu, dia tidak boleh mengikutinya dan tunduk kepadanya. Bahkan, sedikit pun tidak boleh ada bisikan hati untuk taqlid kepadanya. sebagaimana tidak mungkin orang sakit menyerahkan dirinya kepada seseorang yang bukan doktor. Kecuali kalau pesakit itu sudah kehilangan akal (gila). Dengan demikian, kesimpulannya bahawa seorang mufti diikuti fatwanya kerana faktor ilmunya, bukan faktor peribadi sebagai seorang manusia.
3. Ia belum mencapai tingkat ijtihad tetapi mampu memahami dalil dan mampu melakukan tarjih. Untuk golongan ketiga ini, kita perlu melihat keadaannya. Bila berkemampuan tarjihnya dapat dianggap memenuhi syarat, bererti ia adalah mujtahid sebab hakikat mujtahid hanyalah mengikuti ilmu dan menganalisisnya. Jadi orang yang mampu melakukan tarjih dan dapat diterima hasil tarjihnya adalah seorang mujtahid.
Akan tetapi, bila tarjihnya masih belum dapat diterima, keadaannya adalah sama dengan orang awam. Hal ini kerana orang awam mengikut mujtahid untuk mendapatkan kebenaran ilmu yang tidak mampu ia lakukan sendiri. Demikianlah halnya orang yang tarjihnya masih belum diterima . ( Al I'tisham, susunan Imam Asy Syatibi, jilid III, hlmn 250)
Imam Ad Dahlawi dari Ibn Hazm dalam Kitabnya Hujjatullaahil Balighah, Jilid 1, Halaman 123 menyatakan seperti berikut (yang bererti)
"Ketahuilah bahawa mazhab empat sudah dibukukan dan diteliti secara cermat. Umat dan orang-orang terpandang pun telah ijma' mengikuti mazhab-mazhab tersebut sampai hari ini. Bagi mereka yang mengikuti mazhab-mazhab itu terdapat kemaslahatan yang tiada kesamaran lagi, apatah lagi pada hari sekarang ini ketika kefahaman manusia sangat terbatas dan jiwa seseorang sudah dicampuri hawa nafsu dan masing-masing saling membanggakan pendapatnya. Maka apa yang dipegang oleh Imam Ibnu Hazm sebagaimana ia telah menyatakan. "Sesungguhnya taqlid itu adalah haram dan tidak halal bagi seorang pun mengambil ucapan seseorang, selain RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam dapat dianggap sempurna (benar) kalau orang tersebut mampu melakukan ijtihad walaupun dalam satu masalah"
Sumber rujukan : Kitab Alla mazhabiyyatu Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu Asy Syariiata Al Islamiyyah karangan Dr Said Ramadhan al Buthi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.